JOHO: Indienomics
Oleh Zan Azlee
Model ekonomi generasi muda Malaysia.
Golongan muda tidak patut percaya dengan kata-kata bahawa mereka adalah pemimpin masa hadapan. Mereka harus mempunyai pemikiran bahawa mereka adalah pemimpin hari ini. Ini adalah mantra yang dipercayai satu kumpulan muda di bandaraya Johor Bahru yang dikenali sebagai JOHO.
“Lebih kurang 10 tahun yang lalu, Johor Bahru boleh dikatakan berada dalam zaman kegelapan,” kata Johan Ropi, presiden JOHO.
Ketika itu, ibukota negeri Johor sedang melalui satu krisis identiti. Pusat bandar lama mula mati, terutamanya apabila Nusajaya dijadikan pusat kerajaan negeri yang baru. Penutupan Sungai Seget, perobohan jambatanflyover di Stulang dan juga bangunan KOMTAR turut menjadi faktor.
Jalan-jalan utama seperti Jalan Trus dan Jalan Dhoby semakin lengang. Gejala sosial dan jenayah mula timbul seperti pelacuran dan pengedaran dadah. Golongan muda yang dahulunya sering mengunjungi bandar lama untuk bergaul sesama sendiri kini tidak mempunyai tempat lagi.
Bandaraya Hipster
Pengasas JOHO waktu itu, Yusri Bachok, Zul Abas dan Allayarham Azrafi Zaky Abd Rahman, mengambil keputusan untuk bertindak. Bersama dengan komuniti pemuda yang lain di Johor Bahru, mereka mula merancang pelbagai aktiviti seperti bazaar, konsert dan pesta seni di kawasan bandar lama.
Antara pesta yang pertama diadakan adalah SPAM (Southern Project Art Movement) pada tahun 2010. Ia merupakan satu pesta fotografi dan reka grafik dan telah bertempat di Roost Café di Jalan Dhoby.
“Pada mulanya kami jangka hanya 200 orang yang akan datang. Sebab itu kami adakan di kafe yang kecil. Kami terkejut apabila lebih 1,000 orang datang. Ramai yang terpaksa duduk di luar kaki lima dan jalan raya,” kata Yusri, ketua pegawai eksekutif JOHO, sambil tersenyum.
Dari situ, mereka lebih yakin untuk merancang aktiviti untuk golongan muda. Aktiviti seperti Paso Bumbung(bazar seni) dan konsert Gego kini menjadi aktiviti tahunan di Johor Bahru. Kawasan bandar lama juga mula semakin dinamik dan rancak. Kafe hipster dan pelbagai kedai mula muncul.
“Aktiviti gejala sosial di kawasan itu secara tersendiri mula hilang kerana terbatas dengan aktiviti golongan muda yang lebih sihat,” jelas Johan.
Tambahan pula, aktiviti ini diadakan di kawasan ‘brownfield area’ yang secara definisi adalah tempat yang merupakan tapak komersil atau industrial yang tidak lagi aktif. Contohnya, Paso Bumbung diadakan diatas bumbung bangunan. Gego pula diadakan di kawasan bangunan Bukit Timbalan yang sudah tidak digunakan lagi.
Inisiatif dan aktiviti JOHO bukan sahaja dapat sokongan dari golongan muda Johor, tetapi mereka juga sering bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri Johor dan Majlis Bandaraya Johor Bahru.