Jom keluar makan! Tapi GST bagaimana?


athena_food

kopitiam

Jom keluar makan! Tapi GST bagaimana?
By Zan Azlee

Saya sering keluar makan bersama keluarga dan juga kawan-kawan saya. Masa bersama mereka, sambil menikmati juadah yang enak, merupakan masa yang berkualiti.

Oleh kerana industri pemakanan akan dikenakan GST, tentu sekali ia merupakan sesuatu yang akan mempengaruhi kehidupan saya, keluarga dan kawan-kawan saya.

Sebelum 1 April apabila GST dikenakan, saya sering membayar bil restoran begitu sahaja tanpa meneliti dengan betul (selain dari melihat caj makanan yang dikenakan).

Caj perkhidmatan 10 peratus dan cukai jualan 6 peratus yang dikenakan selama ini (jumlah 16 peratus) sudah pun sebati dengan bil yang kita perlu bayar apabila makan di luar.

Lebih kurang dua minggu sebelum 1 April, saya dan keluarga saya telah ke sebuah restoran kegemaran kami yang menghidang daging masakan Brazil.

Ketika membayar selepas perut sudah kenyang, pemilik restoran itu memberi tahu saya bahawa harga mereka tidak akan naik apabila GST dikenakan nanti.

“Jangan risau. Kami cuma akan gantikan cukai jualan sebelum ini dengan GST baru. Kadarnya sama, iaitu 6 peratus. Maknanya tiada beza harga,” senyum beliau.

Oh, begitu rupanya. Tidaklah begitu rumit prosesnya. Saya pun mula rasa lega kerana hobi kegemaran saya, iaitu keluar makan, tidak akan bertambah mahal selepas implementasi GST.

Selepas dua minggu berlalu, dan GST sudah pun diimplementasi, saya dan isteri saya mempelawa ibu saya ke restoran untuk berjuadah dim sum pada hari minggu.

Selepas makan, kami pun memanggil pelayan untuk membawa bil. Apa lagi. GST sudah bermula, kami pun mengkaji bil yang sampai itu dengan begitu teliti sekali.

GST sebanyak 6 peratus jelas tertera pada bahagian bawah bil. Tetapi, isteri saya menyoal kenapa caj perkhidmatan 10 peratus masih dikenakan kerana ia tidak seharusnya ada lagi selepas GST.

Pelayan di restoran itu tidak dapat menjawab soalan kami. Dia pun memanggil pengurus untuk cuba menerangkan bil tersebut pada kami agar kami lebih memahami.

Tetapi pihak restoran sendiri tidak begitu memahami implementasi GST dan cara mereka menerangkan caj perkhidmatan itu cuma sekadar “itu memang caranya encik.”.

Tanpa ingin merumitkan keadaan, kami membayar. Apabila pulang, saya teringat bahawa sebenarnya caj perkhidmatan itu tetap ada bagi restoran yang selama ini mengenakannya, tidak kira GST.

GST hanya menggantikan cukai jualan dan bukan caj perkhidmatan yang dikenakan restoran besar di mana ada persetujuan di antara pihak restoran dan pekerja mereka.

Pada hari lain pula, ibu dan bapa saya pula mempelawa kami makan malam untuk menyambut ulangtahun perkahwinan mereka yang ke 38.

Restoran itu sering kami kunjungi dan masakan ketam mereka sangat sedap. Kami teringat bahawa sebelum ini, bil yang kami dapat selalunya hanya ditulis dengan tangan di atas sekeping kertas.

Tetapi, kali ini, kami tersenyum apabila pelayan membawa bil itu kerana ia elok dicetak setiap item yang kami telah pesan. Dan di bawah sekali, tercatat GST!

Kami juga sedar bahawa mereka tidak mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 10 peratus. Hanya 6 peratus GST yang mereka kenakan pada jumlah bil.

Sebelum 1 April, restoran itu tidak pernah mengenakan caj perkhidmatan dan cukai jualan. Selepas 1 April, dengan adanya GST, harga di restoran ketam itu kini lebih mahal 6 peratus!

Kesimpulannya, bagi restoran yang sebelum ini pernah mengenakan caj perkhidmatan 10 peratus dan cukai jualan 6 peratus, mereka hanya perlu menggantikan cukai jualan dengan GST 6 peratus.

Bagi restoran yang sebelum ini tidak pernah mengenakan caj perkhidmatan dan cukai jualan, mereka tetap perlu mengenakan GST (jika keuntungan perniagaan mereka RM500,000 keatas setahun).

Ikutilah video ini untuk mempelajari dengan lebih lanjutnya.

 

[Artikel dan video ini pertama kali diterbitkan di KopitiamEkonomi.Com]

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s