Masalah ‘last mile’


IMG_8358

kopitiam

Masalah ‘last mile’
Oleh Zan Azlee

Saya adalah seorang yang tidak gemar memandu. Kalau diberi pilihan untuk berjalan kaki, saya lebih selesa memilih untuk berpeluh berbanding memandu (berga
ntung pada jarak perjalanan!).

Antara faktor kenapa saya tidak gemar memandu adalah kebencian saya untuk meredah trafik yang sesak di ibu kota, kepenatan memandu, kos minyak, tol dan penyelenggaraan kenderaan.

Masalahnya, kediaman saya di Kota Kemuning, Shah Alam, terletak jauh dari tempat kerja di Kuala Lumpur dan kerana itu, saya tidak boleh berjalan kaki setiap hari.

Terlintas di pemikiran saya untuk menggunakan pengangkutan awam. Tetapi, kita sering dengar masalah yang dihadapi mereka yang sering menaiki pengangkutan awam.

Pertama sekali, antara rungutan yang kita dengar adalah keretapi LRT, komuter atau bas tidak boleh dipercayai kerana sering tiba lambat dan tidak mengikuti jadual yang ditetapkan.

Kedua adalah masalah ‘last mile’ di mana setiap stesen LRT dan komuter sebenar terletak jauh dari kediaman orang ramai dan ia menjadi masalah untuk sampai ke destinasi akhir mereka.

Tetapi, kerana saya sudah terlalu penat memandu kereta setiap hari, saya memberi komitmen dan memberanikan diri juga untuk cuba menaiki pengangkutan awam akhirnya.

Stesen komuter yang paling hampir dengan rumah saya adalah di Shah Alam. Naik teksi terlalu mahal, jadi saya memutuskan untuk memandu kereta sahaja untuk sampai ke stesen tersebut.

Selepas 10 minit di jalan raya dan membayar tol sebanyak RM1.20, saya tiba di stesen Shah Alam dan meletak kereta di tempat letak kereta (RM4.00).

Tepat pada waktunya, tren komuter tiba dan saya menaiki sehingga lah ke KL Sentral yang mengambil masa selama lebih kurang 45 minit.. Tambangnya sebanyak RM2.50.

Masa saya di dalam komuter tidak terbuang. Saya sempat membaca berita di iPad saya, buku dan juga boleh membuat sedikit kerja seperti membalas e-mel dan menulis.

Di KL Sentral, saya berjalan ke arah platfom LRT pula kerana saya perlu turun di stesen Masjid Jamek. Walaupun ramai orang, saya sempat tiba dengan tambang sebanyak RM1.30.

Di sini pula, saya perlu berjalan ke tempat kerja saya yang terletak di Bangunan Bursa yang berhampiran dengan Pudu Raya. Saya tiba dalam masa 10 minit.

Proses ini saya ulangi pada penghujung hari apabila pulang dari kerja. Dan sebenarnya, ia mengambil masa yang lebih berbanding kalau saya memandu kereta saya.

Jumlah masa yang diambil menaiki pengangkutan awam untuk pergi kerja sehari adalah lebih kurang 3 jam. Kalau memandu, saya cuma menghabiskan 90 minit di jalanraya.

Bezanya sangat ketara dari segi penjimatan kos. Melalui pengangkutan awam, kos anggaran sehari adalah RM15.00. Kalau dengan kereta, saya perlu belanja lebih dari RM30.00.

Tetapi, kelebihan yang paling utama bagi saya adalah perasaan yang lebih tenteram dan tidak stress kerana tidak perlu lagi meredah trafik sesak dan masa dalam tren digunakan dengan baik.

Sepanjang masa saya menaiki pengangkutan awam, saya tidak pula menghadapi pengalaman yang kurang baik seperti tren yang lambat dan sebagainya.

Tetapi masalah ‘last mile’ itu memang sangat membebankan kerana walaupun saya ingin menggunakan pengangkutan awam, saya tetap perlu memandu kereta saya juga.

Seperti yang kita tahu, projek MRT sedang giat dijalankan dan ia akan kembangkan lagi rangkaian pengangkutan awam di kawasan Kuala Lumpur dan sekitarnya.

Kalau mengikut apa yang telah diumumkan pihak MRT, beberapa fasa awal projek ini akan siap tidak lama lagi. Diharapkan ia akan jadi penyelesaian pada masalah ‘last mile’ ini.

Saya yakin bahawa ramai warga Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya, seperti saya, inginkan kemudahan yang efisien dan selesa sebagai alternatif dan harapan adalah agar ia menjadi realiti.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkembangan pengangkutan awam di Malaysia, ikutlah Laporan Tahunan ETP 2014 di sini: http://etp.pemandu.gov.my/annualreport2014/

[This article originally appeared at KopitiamEkonomi.Com]

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s