Siapa kata darah seni tidak boleh diwarisi?
Oleh Zan Azlee
Foto Zen Cho ihsan Jim C. Hines
Foto Reza, Aida & Fariz Salleh ihsan mereka sendiri
[Artikel ini ditulis dan diterbitkan untuk Malaysia.My]
Teruja apabila melihat pasangan adik beradik yang kreatif dan tergerak untuk melihat bagaimana keluarga mereka menjadi sumber inspirasi.
Adakah kreativiti dapat diturunkan kepada anak-anak sekiranya sesebuah keluarga itu mempunyai darah seni? Samada ini benar atau hanyalah satu mitos, kita bertemu dengan beberapa pasangan adik beradik yang kesemuanya terlibat dengan kerja atau industri yang berkait dengan kreativiti.
John Cho dan Zen Cho
John Cho, atau juga dikenali sebagai We Jun, adalah seorang pembikin filem yang telah menerbitkan beberapa hasil karya yang pernah ditayangkan di festival filem dalam dan luar negeri. Filemnya seperti Salvaj juga dicalonkan anugerah filem pendek terbaik di Festival Filem Malaysia 2015.
Adiknya Zen Cho pula adalah seorang penulis yang kini menetap di London, United Kingdom. Beliau telah menulis beberapa cerpen dibawah penerbit Fixi dan novel terbarunya adalah Sorcerer to the Crown yang dicetak oleh Ace Books dan Pan Macmillan.
“Seperti kebiasaan mana-mana keluarga di Malaysia, kami memang fokus sepenuhnya kepada prestasi akademik. Zen mempunyai ijazah undang-undang dari Cambridge. Saya pula mempunyai dua ijazah dalam bidang sains aktuari,” gelak John.
Namun, keluarganya tidak pernah memaksa mereka. Bahkan ketika kecil, ibu bapa mereka sering menggalakkan mereka membaca dan meluahkan perasaan mereka.
“Ibu saya seorang yang sangat artistik. Dia sentiasa sibuk menghasilkan karya, berkebun dan bercerita. Mungkin (sifat-sifat) itu yang kami warisi,” kata Zen.
Apabila bakat John dan Zen mula menyerlah, ibu bapa mereka tidak sekalipun cuba menghentikannya. Malah, mereka mendorong sekuat hati untuk anak mereka mengambil risiko dan mengorak langkah untuk berjaya dalam bidang masing-masing.
Ketika filem pertama John, The Apprentice, dijemput ke pelbagai festival filem antarabangsa, bapanya memberi nasihat supaya beliau beri fokus sepenuhnya pada perfileman. Pada masa itu, John bekerja dalam industri kewangan. Beliau meninggalkan kerjayanya dan memulakan syarikat produksinya sendiri.
Bagi Zen pula, pengalamannya ketika kecil yang sentiasa dikelilingi buku dan bahan bacaan telah menyumbang ke arah cita-citanya untuk menulis. Walaupun ibu dan bapa sentiasa mendorong mereka ke arah akademik, mereka tetap diberi kebebasan untuk bermain serta membaca. Ini, kata Zen, adalah faktor utama kenapa beliau menjadi penulis.
Ezrena Marwan dan Emir Ezwan
Bakat pasangan adik beradik ini lebih cenderung kepada karya visual. Ezrena merupakan seorang pereka grafik dan kurator manakala adiknya Emir adalah seorang artis visual yang banyak menghasilkan muzik video dan filem pendek.
“Atuk kami di sebelah ibu seorang pelukis. Beliau banyak menghasilkan karya seperti lukisan dan sebagainya. Ketika kecil, kami selalu melihat hasil kerjanya dan mungkin itu yang mempengaruhi kami ke arah kesenian” kata Ezrena.
Ahli keluarga lain, seperti ibu bapa mereka, tidak begitu cenderung kepada bidang seni tetapi mereka tidak menghalang anak-anak mereka dari menceburi bidang seni atau kreatif.
“Pada awalnya saya belajar bidang kejuruteraan, tetapi bertukar kepada rekaan grafik. Sekarang, apabila sudah bekerja, saya menceburi bidang video dan seni visual pula,” terang Emir, yang baru ini telah memenangi anugerah filem pendek terbaik di Festival Filem Malaysia 2016 dengan karyanya bertajuk RM10.
Ezrena pula merupakan pengasas Malaysia Design Archive, sebuah NGO yang bertujuan mendokumentasikan hasil karya dan sejarah pereka grafik di Malaysia. Beliau banyak menyumbang rekaan kepada NGO dan pertubuhan sosial, malah beliau juga merupakan seorang pensyarah.
Reza Salleh, Aida Salleh dan Fariz Salleh
Reza adalah seorang ahli muzik solo dan adiknya Fariz seorang pemain gitar untuk kumpulan Battle Bloom; Aida pula merupakan seorang kurator bazaar. Mereka membesar di dalam keluarga yang tidak artistik atau kreatif kerana ibu bapa mereka lebih cenderung kepada dunia korporat.
“Saya belajar di bidang perniagaan dan IT. Aida pula mempunyai ijazah di bidang nutrisi dan diet. Adik bongsu kami Fariz seorang sahaja yang meneruskan pelajaran dalam bidang kreatif iaitu senireka grafik,” kata Reza.
“Mungkin selepas mereka melihat saya dan Reza boleh berdikari dalam bidang masing-masing, mereka lebih yakin untuk memberi peluang kepada Fariz!” gelak Aida.
Sama seperti pasangan sebelum ini, walaupun ibu bapa mereka bukan yang jenis kreatif, mereka tidak pula menghalang anak-anak untuk menceburi minat masing-masing. Namun, mereka tetap risau tentang masa depan anak mereka.
“Saya sentiasa perlu meyakinkan ayah saya bahawa bekerja sebagai seorang ahli muzik adalah seperti satu perniagaan. Bila saya kata ‘saya berkerja sebagai seorang usahawan untuk menjayakan kerjaya saya’, barulah hatinya tenteram,” kata Reza.
Bagi Fariz pula, kalau tidak kerana abang dan kakaknya, mungkin lebih sukar untuk beliau mencorakkan kerjayanya. Apabila ibu dan bapanya telah melihat bahawa Fariz juga boleh berjaya dalam bidang muzik, mereka lebih yakin.
“Sebenarnya, ibu dan ayah kami sangat menyokong apa jua yang kami pilih. Contohnya, ibu saya yang telah membelikan gitar pertama saya, dan mereka tidak pernah marah jika kami berlatih bermain muzik sehingga lewat malam,” kata Fariz.
Beliau juga berharap pada satu hari nanti, ketiga-tiga beradik boleh bekerjasama.
“Saya pernah terfikir bagaimana kami bertiga boleh membuka satu tempat persembahan muzik dan kafe. Saya dan Reza boleh mengelolakan persembahan muzik dan Aida boleh menjual. Pasti seronok!” katanya.
[Artikel ini ditulis dan diterbitkan untuk Malaysia.My]
Get Zan Azlee’s latest book ‘JOURNO-DAD: The chronicles of a journalist who just happens to be a dad!‘ today!
Buy more Fat Bidin books, films and merchandise at The Fat Bidin Store!