5 Perkara Menarik Mengenai Bajet 2016
Oleh Zan Azlee
Setiap tahun ketika pembentangan Bajet negara, orang ramai akan sibuk berbincang tentang apa yang mereka harapkan belanjawan tahunan ini. Antara perkara yang sering menjadi topik perbualan adalah cukai pendapatan, kenaikkan harga barang dan peruntukkan pembangunan negara.
Pembentangan tahun ini pula, untuk Bajet 2016, satu perkara yang paling diperbualkan adalah bagaimana Bajet tahun ini akan mengambil kira dan mempertimbangkan keadaan ekonomi yang mencabar.
Secara keseluruhan, memang apa yang disampaikan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak (yang juga merupakan Perdana Menteri) sedikit sebanyak menunjukkan reaksi kerajaan terhadap memperbaiki keadaan ekonomi.
Kalau kita hendak menganalisa Bajet 2016 secara mendalam, memang tidak cukup satu artikel. Jadi, kita mempermudahkan sedikit dengan melihat lima perkara yang paling menarik perhatian penulis.
1. GST
Ini merupakan implementasi cukai yang paling drastik tahun ini. Pendapatan GST setakat ini adalah RM39 bilion. Ini jelas dapat serap kehilangan pendapatan dari tempat lain, terutamanya minyak dan gas galian.
Kerajaan juga telah melakukan beberapa perubahan terhadap GST. Beberapa keperluan asas yang sebelum ini dikenakan GST kini dikecualikan. Ubat-ubatan yang berkaitan dengan rawatan kanser, tekanan darah tinggi dan sakit jantung juga dikecualikan.
2. Kenaikan kadar cukai untuk golongan kaya
Individu yang berpendapatan antara RM600,000 dan RM1 juta dinaikkan kadar cukai dari 25 peratus ke 26 peratus. Yang berpendapatan lebih RM1 juta pula dinaikkan kadar dari 25 peratus ke 28 peratus.
Kalau implementasi GST telah mengakibatkan seluruh rakyat Malaysia perlu untuk menanggung kos yang semakin meningkat, kenaikkan kadar cukai golongan berpendapatan tinggi ini menjadikan keseimbangan sosio-ekonomi lebih serata.
3. Peruntukkan yang konsisten ke arah pendidikan
Peruntukkan diberi untuk membina sekolah baru di seluruh negara. Tetapi yang lebih penting adalah peruntukan sebanyak RM38.5 juta untuk program DLP (Dual Language Programme) dan HIP (Highly Immersive Programme) untuk memperbaiki kualiti pendidikan Bahasa Inggeris di tahap sekolah.
4. Tumpuan terhadap golongan B40 dan M40
B40 adalah golongan berpendapatan 40 peratus terendah dan M40 adalah golongan berpendapatan tengah antara RM3,860 dan RM8,320 sebulan. Kedua-dua golongan ini diberi perhatian dalam bajet 2016 dengan pelbagai pengecualian dan kelayakkan.
Antaranya adalah peruntukkan sebanyak RM100 juta untuk program eRezeki dan eUsahawan, RM200 juta untuk membantu pemilik rumah pertama untuk mendapatkan bayaran duit muka dan juga pelbagai beberapa pengecualian cukai untuk keluarga dan sebagainya.
5. Kesihatan dan perubatan
Seperti juga pendidikan, bidang kesihatan juga diberi peruntukan untuk membina lebih hospital di kawasan luar bandar untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mempunyai peluang untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang murah.
Selain dengan ubatan yang berkaitan dengan GST, seperti yang disebut di atas, lebih peruntukan juga diberi untuk menambah pemberian vaksin di hospital dan klinik kerajaan untuk mencegah penyakit yang berjangkit.
[Artikel ini diterbitkan pertama kali di KopitiamEkonomi.Com]