5 perkara yang boleh bantu jimat kos elektrik
Oleh Zan Azlee
Sebelum saya mendirikan rumah tangga dan hidup bujang, bil elektrik rumah saya sangat rendah. Selalunya tidak melepasi RM50 pun. Tetapi saya hidup seorang di kondominium yang kecil. Selepas berumah tangga, saya sekarang menetap di rumah yang lebih besar dari ‘bachelor pad’ saya yang dulu. Dan keluarga saya juga ada empat orang – saya, isteri dan dua orang anak.
Kegunaan elektrik dengan serta merta bertambah dari zaman bujang saya. Bil elektrik yang dulu tidak lebih dari RM50 kini beratus-ratus sebulan. Hendak buat macam mana kan?
Kos mungkin akan bertambah tetapi ada beberapa cara untuk kita berjimat agar ia tidak keterlaluan dan juga untuk kita berjimat tenaga dan mengurangkan pencemaran.
Ini adalah 5 perkara yang saya rasa boleh dilakukan:
- Gunakan mentol jimat tenaga
Mentol jimat tenaga sebenarnya lebih mahal dari mentol biasa. Kalau mentol biasa berharga RM5, jenis yang jimat tenaga boleh mencecah RM50.
Tetapi, mentol jimat tenaga boleh tahan jauh lebih lama dari mentol biasa, sehingga bertahun-tahun lebih lama. Dan jimat kos memang sangat ketara. - Pastikan hawa dingin anda mempunyai kuasa kuda yang betul
Malaysia adalah negara yang sangat panas! Saya pula agak manja dan bila tidur, saya perlukan penghawa dingin untuk memberi rasa yang nyaman.
Untuk pastikan bil elektrik tidak melambung, kuasa kuda penghawa dingin yang digunakan perlu sesuai dengan keluasan bilik atau rumah anda. Jika kuasa kuda penghawa dingin anda terlalu rendah untuk bilik yang luas, ia akan bekerja lebih dan menggunakan lebih tenaga elektrik. - Tutup komputer jika tidak guna
Zaman sekarang, komputer digunakan untuk hampir segala perkara, dari bekerja sehinggalah untuk berhibur. Ia sekarang merupakan peralatan rumah yang wajib ada.
Ramai orang gemar meninggalkan komputer mereka terpasang. Ini sebenarnya makan elektrik. Mudah sahaja. Anda hanya perlu pastikan bahawa ia ditutup jika tidak digunakan. - Tutup suis utama untuk televisyen anda
Selalunya, kalau tidak menonton televisyen, suisnya tetap terbuka dan ini memberi kuasa kepada kotak Astro ataupun Unifi Hypp TV. Cuba tutup apabila tidak menonton kerana ia juga menghabiskan elektrik - Jalan bilik ke bilik dan tutup lampu serta kipas
Pada pendapat saya, ini adalah langkah paling efektif! Ketika di rumah, saya akan sering berjalan dari dapur ke ruang tamu dan juga setiap bilik untuk memantau. Kalau ada sahaja lampu atau kipas yang terpasang tetapi tidak ada orang di dalam bilik itu, saya pasti akan tutup suis dan terus membebel kepada semua orang di rumah untuk jangan membazir elektrik!