Sukan adalah penting bagi sosio-ekonomi sesuatu negara
Oleh Zan Azlee
Apakah peranan sukan untuk negara? Sebenarnya kalau kita hendak lihat keperluan kemajuan sukan untuk sesebuah negara, kita kena lihat pada keperluannya.
Contohnya, untuk negara yang sedang membangun seperti Malaysia, secara dasarnya keperluan sukan mungkin tidak menjadi prioriti kerana banyak lagi hal yang perlu dititikberatkan.
Mungkin, kita lebih perlu untuk fokus ke arah memperkembangkan kapabiliti sains dan teknologi supaya negara kita boleh membina bangunan, membuat kajian atau menawarkan perkhidmatan IT dan sebagainya.
Jadi, perkembangan sukan mungkin terpaksalah diletakkan ditangga bawah dalam prioriti kerajaan. Mungkin kerana itu, persepsi rakyat adalah bahawa perkembangan sukan di Malaysia sangat mundur. Tetapi ini tidak seharusnya berlaku kerana sukan memainkan peranan yang sangat penting dari segi perkembangan sosio-ekonomi sesebuah negara.
Selain dari kelebihan yang sangat jelas seperti kesihatan fizikal dan peluang untuk berkecimpung dalam sukan peringkat antarabangsa, kemajuan sukan mempunyai pengaruh yang lebih mendalam.
Negara yang mempunyai ahli atau pasukan sukan yang berjaya di peringkat antarabangsa juga mempunyai rakyat yang lebih bersemangat nasionalisme dan patriotik.
Secara tidak langsung, ini menggalakkan dan memberi motivasi kepada rakyat untuk sentiasa cuba sedaya upaya dalam apa juga bidang yang diceburi, tidak kira samada ia adalah sukan atau tidak.
Kalau tidak percaya, cuba ambil filem Rocky yang dibintangi Sylvester Stallone sebagai contoh. Ramai organisasi korporat akan menayangkan filem tersebut untuk menaikkan semangat pekerja mereka walaupun Rocky berkisarkan seorang peninju.
Ini mungkin cliche, tetapi setiap kali Datuk Lee Chong Wei, bermain dalam pertandingan akhir di mana-mana pertandingan antarabangsa, satu Malaysia akan menonton secara langsung.
Tidak kira bangsa atau agama, mereka akan bersatu untuk menyokong pemain badminton terunggul Malaysia. Kalah menang tidak pernah menjadi isu kerana semangat itu yang penting.
Apabila pasukan bolasepak Harimau Malaya bermain, ia juga boleh menarik penonton yang ramai. Tetapi, pasukan negara ini pula sentiasa menghampakan (lawak aje… yang penting mereka usaha!).
Dengan perkembangan sukan yang sihat dan pesat, boleh juga terbinanya satu industri yang boleh menyumbang secara positif ke arah ekonomi negara.
Contohnya kalau kita lihat badminton. Kini, terdapat pelbagai kelab dan pusat latihan di seluruh negara yang menerima ahli sukan badminton dari dalam dan luar negara yang ingin menjadi profesional.
Rakyat Malaysia juga menjadi rebutan sebagai jurulatih yang berkebolehan oleh negara luar seperti di Jepun dan sebagainya untuk mengasah bakat rakyat mereka.
Pertandingan yang kita anjurkan juga mendapat perhatian seluruh dunia dan menjadi sebahagian daripada litar pertandingan profesional yang menyumbang kepada ranking dunia seseorang pemain.
Dengan ini, ia adalah jelas sekali bahawa kemajuan dan perkembangan sukan memainkan peranan yang sangat ketara untuk negara secara langsung dan tidak langsung.
Malaysia masih jauh lagi untuk mencapai tahap yang boleh dikira antara yang terbaik di dunia dalam apa-apa sukan buat masa ini. Dan disini lah peluang kami untuk berkembang dan bergerak ke hadapan.
Untuk berbincang lebih lanjut tentang status sukan negara, sertailah sesi #TanyaGomen bersama , Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin pada 10 September 2015, 5 petang di Menara CIMB. Kemasukan adalah percuma tetapi tempat adalah terhad. Pendaftaran boleh dibuat di http://tanyakhairy.eventbrite.com
[Artikel ini diterbitkan pertama kali di KopitiamEkonomi.Com]