BR1M – Membantu atau Memanja?


kopitiam

BR1M – Membantu atau Memanja?
Oleh Zan Azlee

Apa pendapat anda tentang BR1M? Adakah ia sesuatu yang bagus untuk rakyat? Adakah ia membantu ekonomi negara? Atau, adakah ia menjadi cara untuk memanjakan rakyat?

Sebenarnya, BR1M, atau Bantuan Rakyat 1 Malaysia ini bukanlah sesuatu yang unik. Banyak negara lain juga mengamalkan sistem kebajikan mirip BR1M.

Di Denmark, wang juga diberikan, tetapi lazimnya, bantuan diberi dalam bentuk subsidi perkhidmatan kesihatan dan pendidikan. Ini dilihat sebagai sesuatu yang lebih berguna berbanding dengan bantuan berbentuk wang.

Di Kanada pula, wang kebajikan diberi terus kepada mereka yang tidak bekerja atau mereka yang berpendapatan rendah setiap bulan. Sistem ini hampir mirip sistem BR1M yang diamalkan di Malaysia.

Syarat dan kriteria berbeza mengikut negara dan ia bergantung pada masyarakat setempat dan sistem yang paling sesuai dengan mereka.

Bantuan wang secara terus yang diberi kerajaan ini kepada rakyat adalah berdasarkan kalau seseorang itu memerlukannya atau tidak, dan bukan semua yang layak.

Kriteria pertama adalah di mana golongan yang berpendapatan seisi rumah di bawah RM3,000 menerima RM950. Kedua, golongan berpendapatan seisi rumah antara RM3,000 dan RM4,000 menerima RM750. Ketiga, individu yang belum berkahwin, berumur lebih 21 tahun dan berpendapatan dibawah RM2,000 akan menerima RM350.

Mereka ini semua akan menerima bayaran ini sekali sahaja dalam tahun 2015. Jadi anda bagaimana? Layak atau tidak?

BR1M ini memang mendapat sambutan dalam kalangan rakyat, tidak kira positif atau negatif. Yang positifnya, tentu sekali dari mereka yang menerima. Siapa yang tidak mahu duit? Betul tak?

Kerajaan pula memberi sebab bahawa BR1M ini akan meringankan beban golongan berpendapatan rendah. Secara teknikal, memang apa jenis bantuan pun adalah positif.

Rakyat yang menerima BR1M boleh menggunakan wang yang diterima untuk membeli barangan keperluan, makanan dan sebagainya.

Ramai juga yang memberi hujah menyokong pemberian BR1M kerana ia membantu ekonomi negara. Wang yang akan dibelanja itu akan disalurkan ke dalam ekonomi dan menggalakkan pertumbuhan perniagaan.

Ada juga yang berpendapat bahawa pemberian wang BR1M adalah lebih berkesan dari cara lain dalam meringankan beban. Contohnya, memberi subsidi yang lebih tinggi untuk minyak.

Hujahnya adalah kerana golongan berpendapatan rendah tidak boleh menikmati subsidi minyak. Mereka tidak mampu membeli kereta dan orang yang berduit sahaja yang akan menikmati subsidi itu.

Pengkritik BR1M juga kuat bersuara. Ada yang percaya bahawa BR1M merupakan sesuatu mainan politik untuk mengambil hati rakyat, tetapi itu adalah pendapat semata-mata.

Yang memberi hujah sosio-ekonomi pula berkata bahawa pemberian wang secara terus ini hanya memanjakan rakyat dan tidak menggalakkan mereka berusaha keras.

Bak kata peribahasa, ‘Beri seorang seekor ikan dan dia hanya makan sehari. Ajar seorang menangkap ikan dan dia boleh makan seumur hidup!’. Lebih kurang macam itu lah! Tetapi, kalau seseorang itu tidak pernah rasa makan ikan, macam mana pula?

BR1M juga dikatakan tidak efektif kerana jumlahnya yang sedikit dan pemberiannya hanya sekali. Lain lah kalau ianya suatu program latihan atau pun dana yang diberi untuk menggalakkan keusahawanan.

Jadi bagaimana? Sokong atau tidak sokong? Yang tentu, implementasi BR1M tidaklah semudah yang disangka. Ia jelas mempunyai aspek positif dan juga negatif.

[Artikel ini diterbitkan pertama kali di KopitiamEkonomi.com]

money

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s