Tahukah anda apa itu ‘urun’ ? Crowdfunding sebenarnya!
By Zan Azlee
Soalan nombor satu, cabaran utama, yang menjadi penghalang terbesar untuk mereka yang mempunyai ide atau projek untuk dijalankan adalah – modal!
Ide pula senang aje. Janji ada cita-cita dan angan-angan, kita boleh berfikir apa sahaja. Tetapi untuk merealisasikannya menjadi cabaran besar.Biar saya memperkenalkan satu perkataan yang mungkin anda tidak pernah dengar. Sebenarnya, saya pun tidak pernah tahu tentang perkataan ini sehingga lah menulis artikel ini.
Urun dana! Ha? Urun itu apa? Sebenarnya ia lebih dikenali perkataan Inggeris yang lebih universal… iaitu ‘crowdfunding’! Pernah dengar kan perkataan itu?
Crowdfunding adalah cara dimana dana diperolehi dari ramai orang dan setiap orang itu menyumbang wang yang mungkin sedikit sahaja (tetapi ada yang sanggup menyumbang banyak).
Walaupun sumbangan setiap orang sedikit, apabila anda berjaya untuk meyakinkan ramai, besarlah jumlahnya. Kan orang kata, sikit-sikit lama-lama jadi bukit!
Pelbagai ide dan projek seperti filem, cetakan buku, penghasilan produk untuk dijual, ciptaan teknologi, perniagaan makanan dan macam-macam lagi pernah berjaya kerana crowdfunding.
Di Internet terdapat banyak laman web yang membantu orang ramai untuk memulakan projek crowdfunding. Contohnya Kickstarter, Indiegogo, dan di Malaysia, Pitchin.my.
Anda perlu kenal pasti laman web mana yang paling sesuai dengan projek anda. Pitch ide anda dengan cara yang boleh menarik perhatian dan tunjukkan bahawa anda betul-betul semangat dan komited.
Selalunya, orang akan pitch menggunakan pembentangan video. Kalau anda mempunyai cerita atau latarbelakang yang menarik, lagi bagus!
Tapi crowdfunding tidaklah semudah yang disangkakan. Selepas anda tentukan jumlah modal yang diperlukan, anda juga perlu letakkan satu tarikh akhir untuk mencapai jumlah itu.
Kalau tiba tarikh itu dan jumlah yang dikutip tidak sampai jumlah yang diperlukan, anda tidak dapat satu sen pun. Anda juga perlu komited dan tidak boleh berhenti sekerat jalan selepas mendapat dana anda.
Ide anda perlu dibentangkan dengan elok dan menunjukkan bahawa anda jelas mempunyai visi untuk merealisasikannya. Kalau anda sendiri tidak boleh jelaskan ide anda, bagaimana hendak yakinkan orang.
Anda juga perlu pastikan perlaksanaan anda dijalankan dengan penuh profesionalisme. Dokumentasi perlu tepat, rekod kewangan mesti ada dan pengendalian pekerja perlu profesional.
Tetapi janganlah lihat semua ini sebagai satu halangan. Sebenarnya ia adalah peluang untuk anda menjadi seorang yang lebih professional.
Pastikan juga anda mempunyai strategi untuk menjadi mampan diri, atau self-sustaining. Takkan nak mengharapkan sumbangan dan dana sahaja kan? Kenalah bergerak kehadapan!
Sebenarnya, peluang untuk berjaya dalam crowdfunding agak rendah. Menurut kajian, hanya kurang dari 50 peratus mereka yang memulakan projek crowdfunding akan berjaya.
Tetapi jangan putus asa. Siapa kata anda tidak boleh usaha sendiri? Kalau kerja kuat, usaha gigih dan tidak berputus asa, jimat duit dan kumpul sedikit demi sedikit, boleh juga tercapai impian anda.
[Artikel ini pertama kali dicetak di KopitiamEkonomi.Com]
Di bawah adalah satu video yang memberi tip untuk mencari dana selain dari Crowdfunding (dengar cerita penulis skripnya agak kacak… ahem!).