Boleh ke permohonan dana bagi industri kreatif tidak seleceh dulu?


money

kopitiam

Boleh ke permohonan dana bagi industri kreatif tidak seleceh dulu?
Oleh Zan Azlee

Ketika saya mula berjinak membuat filem independen lebih dari 10 tahun yang lalu, saya juga dapat tahu bahawa ada beberapa organisasi di Malaysia yang membantu perkembangan industri perfileman.

Organisasi seperti Badan Kemajuan Filem Negara (FINAS) dan juga Multimedia Development Corporation (MDec) mempunyai pelbagai jenis program pembiayaan untuk pembikin filem bagi membantu mereka menerbitkan hasil karya.

Saya memutuskan untuk cuba memohon untuk program pembiayaan ini agar dapat menjadikan minat saya dalam bidang perfileman ini sebagai satu kerjaya kerana itu lah antara cita-cita saya sejak muda lagi.

Saya pun membuat penyelidikan saya. Pada mulanya, saya ke laman web organisasi tersebut. Kemudiannya, saya juga pergi melawat pejabat mereka untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi proses dan prosedurnya.

Rupanya, prosedurnya tidak begitu mudah seperti yang dijangkakan. Borang yang perlu diisi selalunya sangat tebal dan mengandungi berpuluh muka surat. Jenis dokumen yang diperlukan juga sangat rumit dan mengelirukan.

Dan apabila borang dan dokumen diterima, ada lagi fasa ‘pitching’ dan juga interview dengan panel yang terdiri daripada kakitangan organisasi tersebut. Proses ini kadang-kadang mengambil masa yang lama – berminggu dan juga berbulan.

Bukan sahaja itu. Apabila kita membawa ide projek filem kita pada organisasi tertentu, kebiasaanya mereka akan mempunyai objektif sendiri dimana mesej dan jalan cerita filem yang dipilih harus mengikuti syarat yang ditentukan.

Kerana proses yang sangat rumit dan leceh, saya akhirnya membuat keputusan bahawa saya lebih rela menggunakan duit sendiri untuk membiayai projek filem saya tanpa bergantung pada sesiapa, terutama sekali organisasi dibawah kuasa kerajaan.

Tidak begitu susah untuk membiayai filem sendiri. Saya cuma perlu bekerj sedikit dan berjimat banyak untuk menyimpan duit. Gaya perfileman saya juga tidak rumit kerana saya adalah seorang ‘one man crew’ di mana saya seorang yang membuat semuanya.

Kerana saya yang menjadi jurukamera, penulis skrip, pengarah, penyunting dan segalanya, kos untuk menghasilkan filem saya sangat rendah. Jadi, apabila stesen televisyen memberi tawaran untuk membeli filem saya, tidak susah untuk saya setuju.

Hasil untung dari jualan itu saya masukkan kembali di filem kedua saya dan stesen televisyen membuat tawaran lagi sekali. Modal bisnes ini menjadi kerjaya saya untuk beberapa filem selama lebih kurang enam hingga tujuh tahun.

Sementara itu, ramai rakan pembikin filem saya yang lebih rajin dan berdedikasi untuk melalui proses permohonan pembiayaan dana yang biorokratik berkongsi pengalaman mereka yang cukup mengerikan bagi saya.

Mereka cerita pada bagaimana mereka terpaksa mengisi borang sebanyak 30 hingga 40 mukasurat, susah payah berbincang dengan ahli biorokrat.. Mereka juga merungut kerana sentiasa terpaksa berkompromi berkenaan jalan cerita filem mereka.

Sesetengah dari mereka juga perlu banyak bersabar kerana perlu meluangkan masa bertahun (kadang-kadang selama 5 tahun lebih) untuk permohonan mereka dipertimbangkan dan diluluskan sebelum mereka boleh memulakan produksi.

Tetapi ada kelebihan bagi mereka yang sanggup melalui proses rumit ini. Produksi mereka lebih besar dan profesional. Ide yang lebih besar juga boleh direalisasikan kerana mempunyai dana yang mencukupi. Hasilnya, filem yang lebih besar.

Namun, saya pula bersyukur kerana saya tidak perlu melalui modal rumit itu untuk terus menghasilkan filem saya. Bagi saya, tidak mengapa kalau bajet filem saya tidak begitu besar berbanding rakan saya. Yang penting, saya selesa dengan cara saya.

Tetapi baru-baru ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah melancarkan ‘Malaysia Content Pitching Centre’ di KL Sentral yang cuba memperbaiki cara permohonan dana yang diamalkan selama ini yang dianggap leceh dan menyusahkan.

Ia menjadi satu ‘one stop centre’ dimana segala jenis dana yang berkenaan dengan induatri kreatif seperti filem, animasi, gaming dan sebagainya boleh dipohon. Wakil organisasi yang mengendalikan dana ini juga boleh diketemui disini dengan mudah.

Seorang hanya perlu datang dengan ide ke kaunter dan segala maklumat dan borang boleh didapati. Malah, proses aplikasi juga sudah dimudahkan dan adalah lebih telus jika dibandingkan dengan sebelum ini.

Jika anda ke laman web Pitching Centre ini, terdapat carta yang menunjukkan bagaimana untuk memohon, melakukan ‘pitching’ sehinggalah bila dana itu diperuntukkan. Malah, ia juga menunjukkan bilangan hari proses yang dilalui. Ia tidak akan melebihi maksima 40 hari.

Dari segi teori, ini memang sesuatu yang sangat dialukan. Dengan proses yang lebih mudah dan telus, saya sanggup berusaha untuk memohon dana. Mungkin ia boleh membantu memperkembangkan kerjaya saya sebagai pembikin filem.

Sudah kian lama fokus telah ditumpukan pada industri kreatif tanahiar. Kini, Pitching Centre
ini telah pun beroperasi. Saya harap ia akan berjalan dengan lancar dan boleh menyumbang ke arah perkembangan industri kreatif di negara ini.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkembangan industri kreatif di Malaysia, ikutlah Laporan Tahunan ETP 2014 di sini: http://etp.pemandu.gov.my/annualreport2014/

[Artikel ini dicetak pertama kali di KopitiamEkonomi.Com]

 

One response to “Boleh ke permohonan dana bagi industri kreatif tidak seleceh dulu?

  1. Maaf saya juga Pembikin Filem generasi muda yang mempunyai Master of Fine Arts in Motion Pictures & Television dari salah sebuah universiti di San Francisco, California, USA serta dua buah projek filem saya telah mendapat pengiktirafan di Amerika, Korea Selatan, Afrika, Austria, India dan France, saya telah terlibat dgn bidang Filem dan seni ini sejak saya ambil diploma dlm Multimedia kemudian ambil Bachelor dlm Animasi disamping itu membuat kerja freelance dan pernah terlibat sepenuh masa sbg video journalist, visual effect designer. Saya juga ada memohon grant tp byk perkara tak dilakukan oleh pihak CMPC, mula2 shj jujur tp lama-kelamaan kejujuran mula muncul dipihak mereka.

    Like

Leave a reply to Ella Cancel reply